Sistem Daftar dan Hebahan Acara | eHebahan | Versi 1.013 Daftar Acara    
 
GARIS PANDUAN PENYIARAN HEBAHAN SISTEM PAPAN DIGITAL
(DIGITAL BOARD) UTAMA UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA.
(V.3.0)

A. Peranan Pusat Tanggungjawab

Pusat Komunikasi Korporat

  • Bertindak sebagai urus setia terhadap perkara-perkara berkaitan dasar penyiaran di Papan Digital.
  • Menggubal dan membuat pindaan terhadap dasar penyiaran dari semasa ke semasa.
  • Melaksana dasar penyiaran Papan Digital.
  • Menerima, menapis, menyunting dan melulus hebahan yang dimohon oleh Fakulti/Pusat/Institut atau organisasi luar untuk siaran Papan Digital.
  • Menyiar hebahan yang telah diluluskan.
  • Menyelenggara, memantau dan mengarkib bahan hebahan yang disiarkan di Papan Digital.

Jabatan Pendaftar

  • Bertanggungjawab mengesah dan mengeluarkan surat pekeliling mengenai dasar penyiaran Papan Digital Universiti Kebangsaan Malaysia.

Jabatan Bendahari

  • Bertanggungjawab menentukan kadar bayaran sewa dan urusan bayaran bagi organisasi luar yang ingin membuat hebahan di Papan Digital.
  • Menyediakan bajet penyelenggaraan.

Pusat Teknologi Maklumat

  • Berperanan membangun sistem permohonan atas talian (e-hebahan).
  • Bertanggungjawab mengurus segala hal-ehwal teknikal Papan Digital termasuk menyelenggara capaian sistem, jaringan, troubleshooting , penaiktarafan sistem dan latihan.
  • Membantu dalam memberi khidmat persembahan multimedia Papan Digital bagi acara rasmi UKM.

Penerbit UKM

  • Menyedia khidmat rekabentuk grafik imej kepada Fakulti/Pusat/Institut/Bahagian, jika diperlukan.

Jabatan Pengurusan dan Penyelenggaraa

  • Menyelia dan menyelaras pengurusan dan penyelenggaraan fizikal seperti naik taraf fizikal papan digital, penyelenggaraan elektrik, pendingin udara, CCTV dan urusan fizikal yang berkaitan.
  • Menyedia dan mengurus sebutharga pembelian/penukaran dan kontrak penyelenggaraan papan digital.

Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang lain

  • Menyedia rekabentuk hebahan yang memenuhi spesifikasi yang selaras dengan dasar penyiaran hebahan di Papan Digital.
  • Mengisi permohonan secara atas talian.
  • Ketua Unit/Pusat/Ketua Bahagian/Jabatan di PTJ masing-masing perlu menyemak kesesuaian kandungan dan rekabentuk sebelum menyokong permohonan secara atas talian.

B. GARIS PANDUAN PENYIARAN PAPAN DIGITAL


1.0 TUJUAN

Garis panduan ini menerangkan tatacara penyiaran hebahan melalui sistem Papan Digital. Garis Panduan ini hanya tertakluk kepada Papan Digital Utama iaitu di pintu masuk utama Kampus Bangi sahaja.  


2.0 PANDUAN

2.1 Permohonan

a. Semua permohonan hendaklah dikemukakan kepada urus setia melalui borang yang disediakan secara atas talian di www.ukm.my/ehebahan (online).
b. Bagi kelancaran proses permohonan hebahan, permohonan oleh Fakulti/Institut/Pusat atau organisasi luar hendaklah dikemukakan ke Pusat Komunikasi Korporat selewat-lewatnya satu (1) minggu sebelum tarikh acara bermula.
c. Permohonan yang telah diluluskan oleh urus setia akan disiarkan di Digital Board seminggu sebelum acara bermula dan akan tamat disiarkan apabila acara selesai. Bagi kes acara yang berlansung sepanjang bulan, hebahan akan dipaparkan selama seminggu sebelum acara bermula dan seminggu selepas acara dari mula acara bermula.
d. Bagi permohonan yang lambat dihantar (tidak memenuhi perkara c), permohonan masih dipertimbangkan dan tempoh masa paparan hebahan bergantung kepada tarikh permohonan dihantar.
e. Permohonan khas untuk panggilan kertas kerja dan penyertaan persidangan/seminar peringkat kebangsaan dan antarabangsa boleh dihebahkan lebih awal dari 1 minggu sebelum acara.

2.2 Jenis Hebahan
a. Jenis hebahan yang disiarkan oleh Fakulti/Institut /Pusat hendaklah berita aktiviti-aktiviti rasmi universiti, contohnya Seminar/Bengkel/Simposium atau aktiviti-aktiviti rasmi yang bersesuaian untuk makluman warga kampus dan juga orang awam.
b. Jenis hebahan hendaklah berunsur maklumat berguna kepada orang awam. Sebarang hebahan yang menimbulkan kekeliruan, berunsur politik, perkauman dan yang boleh menjejaskan keselamatan negara adalah tidak dibenarkan.

2.3 Spesifikasi
a. Sebagai sebuah universiti kebangsaan, UKM mengutamakan penggunaan Bahasa Kebangsaan. Bagaimanapun, Bahasa Inggeris boleh digunakan kes-kes tertentu seperti seminar/persidangan antarabangsa atau menyambut lawatan pemimpin luar negara. Bahasa lain seperti Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil atau bahasa suku kaum Sabah dan Sarawak boleh digunakan untuk acara-acara keagamaan dan perayaan sahaja.
b. Format hebahan sama ada dalam bentuk format gambar seperti JPG & GIF dan juga format video seperti window media video (WMV) boleh diterima untuk siaran di Digital Board.
c. Pusat Komunikasi Korporat hanya menyediakan grafik bagi aktiviti rasmi/utama universiti seperti konvokesyen, lawatan canselor, menteri-menteri, pemimpin negara luar, dan sebagainya. Bagi aktiviti Fakulti/Institut/Pusat/Bahagian, rekabentuk hebahan hendaklah disediakan sendiri atau mendapatkan khidmat daripada Penerbit UKM. Latar belakang grafik persembahan bergantung kepada kreativiti masing-masing.
d. Rekabentuk grafik hebahan hendaklah dalam format grafik imej atau animasi imej (.jpg atau .gif) skrin 640 X 480 pixel, mod warna RGB, dan Resolusi 150 dpi. Imej perlulah menggunakan kontras warna yang baik dan mudah dibaca.
e. e. Maklumat persembahan grafik hendaklah ringkas dan tepat. Contohnya, tajuk acara, tarikh, tempat, masa, penganjur dan juga maklumat sasaran jemputan jika melibatkan jemputan.
f. Untuk memudahkan pembacaan, jumlah teks yang digunakan dalam rekabentuk grafik hendaklah tidak melebihi 25 patah perkataan.

2.4 Sokongan dan Kelulusan
a. Ketua Unit/Pusat/Ketua Bahagian/Jabatan di PTJ masing-masing perlu menyemak kesesuaian kandungan dan rekabentuk sebelum menyokong permohonan secara atas talian. Manakala permohonan pelajar perlu mendapat sokongan daripada Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel) secara atas talian sebelum sistem dimajukan ke Pusat Komunikasi Korporat untuk pertimbangan kelulusan paparan.
b. Kelulusan Naib Canselor diperlukan untuk hebahan organisasi luar dan tertakluk kepada bayaran sewa yang perlu dijelaskan kepada Jabatan Bendahari (sila lihat kadar bayaran seperti di bawah). Pemohon dari organisasi luar juga perlu mendaftar kod pengenalan pengguna (ID) pada sistem atas talian.
c. Tiada bayaran dikenakan kepada permohonan kakitangan atau pelajar UKM.
d. Urus setia akan memaklumkan kepada pemohon melalui menu semakan pemohon di e-hebahan dan juga mel-e jika permohonan diluluskan atau sebaliknya, atau permohonan perlu dipinda.

2.5 Pertanyaan
a. Sebarang pertanyaan atau keterangan lanjut mengenai penyiaran Digital Board hendaklah dikemukakan kepada mel-e pkk@ukm.my atau melalui talian 03-8921 5333/4143.


2.6 Caj Penyiaran Hebahan/Iklan di Papan Digital UKM Bagi Pihak Luar

A.      Iklan statik/imej bagi setiap slide.

Tempoh

Jenis Organisasi 1 Hari (RM) 1 Minggu (RM) 2 Minggu (RM) 1 Bulan (RM)

Kerajaan

100

400

800

1500

Swasta

200

800

1600

3000

 

B.      Iklan Animasi/video (maksimum 15 saat)

Tempoh

Jenis Organisasi 1 Hari (RM) 1 Minggu (RM) 2 Minggu (RM) 1 Bulan (RM)

Kerajaan

150

450

850

1550

Swasta

250

850

1650

3050

Catatan: Tambahan caj RM50 sekiranya rekabentuk disediakan oleh Pusat Komunikasi Korporat (tertakluk kepada perkara A sahaja).

 Khamis, 25 Apr 2024, 10:19:18 Hakcipta Terpelihara © Universiti Kebangsaan Malaysia 2009 |  Penafian